Sejarah Abim sabah

ABIM NEGERI SABAH SETELAH 30 TAHUN


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah akan melangkah detik-detik bersejarah menjelang tahun 2012. Sesungguhnya banyak perkara dan peristiwa bermakna datang silih berganti memberi khazanah pengalaman yang mematangkan untuk diangkat sebagai wahana kepada misi serta cita-cita besar gerakan “Membina Tamadun Khayrah Ummah”. Dalam meniti liku-liku dakwah selama tiga dekad ini juga, ABIM Sabah cenderung untuk menyatakan pendirian, merangka gerak kerja berasaskan pendekatan-pendekatan kesederhanaan (wasatiyyah) dan kebijaksanaan dalam memimpin dan menyantuni semua sasaran dakwahnya (mad’u).

Sekiranya kita menoleh sejenak melihat langkah-langkah sejarah yang dilaluinya, sesungguhnya ABIM Sabah bermula dari period yang perit pemerkasaan asas-asas dakwah dan pengupayaan gerakan Islam kepada period pembinaan generasi melalui budaya ilmu dan pendidikan aqal budi. Ini diikuti period partisipasi generasi muda dalam meneruskan kelangsungan tamadun dan period memperteguh generasi muda dengan berbudaya transformatif liberatif memenuhi segenap ciri dan kehendak generasi Al-Falah (kemenangan).

Kesemua period ini pastinya memberi indikator bahawa ABIM Sabah akan terus relevan menyokong dan mendokong keadilan dan kebenaran bagi mengisi vakum kegelapan (zhulummat) kepada cahaya (nur). Untuk yang demikian itu, bagi memaknai detik menjelang sambutan tiga dekad dengan tema “Memperteguh Generasi Al Falah”, rencana ini ditulis dalam beberapa siri bermula dengan mengimbau sejarah penting penubuhan, pencapaian dan perluasan mendatang bagi mendepani ruang dakwah di alaf Facebook, Twitter dan Blog ini.

SEJARAH AWAL ABIM DI SABAH


Detik bersejarah kehadiran ABIM di bumi Sabah seawalnya dikesan sekitar penghujung tahun 1970. Segalanya bermula dengan kehadiran Sdr. Mohd. Ghazali Mat Resap, seorang aktivis ABIM asal Kelantan yang telah menjejakkan kaki di daerah kecil Lahad Datu di pantai timur Negeri Sabah. Langkah awal Sdr.Mohd. Ghazali pada masa itu adalah tertumpu kepada usaha dakwah agama secara individu melalui ceramah-ceramah dan perbincangan dengan orang perseorangan.

Hasil daripada hubungan yang rapat Sdr.Mohd Ghazali dengan ABIM Pusat pada masa itu, informasi berupa Risalah ABIM dan buku-buku penting dalam jalur ilmu dakwah dan gerakan yang menjadi rujukan utama ABIM Pusat mula tiba di bumi Lahad Datu. Usaha gigih Sdr. Mohd Ghazali dibantu dengan bahan-bahan rujukan dari Pusat telah menambahkan minat penduduk sekitar sekaligus memupuk minat dan mula menerima kehadiran ABIM di sisi masyarakat setempat. Atas faktor sambutan yang amat positif ini, beliau berusaha mendaftarkan ABIM daerah Lahad Datu secara rasmi, namun hasrat ini terpaksa ditangguh atas nasihat dari ABIM Pusat disebabkan perkara-perkara strategik, pertimbangan politik dan beberapa kesukaran lain.

Pada masa yang sama, pengaruh ABIM terus berkembang dan mula dikenali di bandar-bandar besar seperti Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan berikutan siri lawatan dan kunjungan Pimpinan Kanan ABIM Pusat. Sungguhpun masih diperingkat jawatankuasa penaja, ABIM Lahad Datu sehingga tahun 1979 sempat mengadakan aktiviti utama gerakan seperti usrah dan ceramah umum, menyuarakan isu semasa misalnya isu kalimah syahadah di selipar, Perjanjian Camp David dan campur tangan Amerika di Iran.

Menjelang tahun 1979, kegiatan ABIM Lahad Datu mula perlahan. Antara penyebabnya adalah ketiadaan pengganti yang sesuai menggantikan peranan dan usaha-usaha dakwah Sdr. Mohd Ghazali lantaran beliau sudah memilih sikap untuk aktif dalam politik kepartian. Akhirnya pada Ogos 1983 beliau secara rasmi menarik diri daripada bergiat aktif dalam ABIM Lahad Datu.

Nukilan Melayu ada menyebutkan bahawa “patah tumbuh hilang berganti”. Pengunduran Sdr. Mohd Ghazali tidak berakhir di situ sahaja. Ustaz Abdul Ghani Samsuddin telah ditukar dari ITM Shah Alam untuk berkhidmat pula di YS-ITM Sabah. Di sinilah babak penting penubuhan ABIM Sabah telah bermula.

PROSES PENUBUHAN ABIM SABAH


Kehadiran Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin di bumi Sabah yang dipindahkan dari ITM Shah Alam ke YS-ITM Sabah merupakan titik besar dalam sejarah ABIM Sabah. Kehadirannya di bumi Sabah telah mencetus satu fenomena gerakan dakwah ABIM di Sabah dalam erti kata lain sebagai fenemona sebuah gerakan harakah Islamiah kepada belia-belia di Sabah. Belia yang ketika itu memegang jawatan Ketua Biro Dakwah ABIM Pusat telah memperkenalkan ABIM kepada masyarakat khususnya golongan pelajar menerusi program usrah, tamrin, dan qiyamullail yang dibuat di masjid-masjid sekitar Kota Kinabalu.

Ketokohan, keilmuan dan kegigihan beliau berdakwah menyebabkan ABIM lebih dikenali. Malah program-program yang diperkenalkannya pada waktu itu mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri berbanding dengan program-program dakwah sedia ada. Menariknya kesemua program ini dijalankan di beberapa masjid-masjid sekitar Kota Kinabalu. Manakala Usrah atau halaqah dan diskusi ilmu mula dianjurkan secara lebih teratur dan sistematik di kalangan pelajar YS-ITM berpandukan silibus yang dibawa dari ABIM Pusat. Kandungan dan pengisian usrah pula terdiri daripada membaca dan mentafsir al-Quran dan Hadith, dikaitkan pula dengan perbincangan mengenai isu-isu semasa telah mencetus minat tinggi di kalangan mereka yang menyertai usrah. Pengisian sebegini nyata merupakan suatu perkara baru dalam konteks memahami Islam di kalangan belia pada masa itu.

Tidak cukup dengan pengisian sedemikan, Ustaz Ghani Shamsuddin turut memperkenal program Tamrin (Latihan) yang turut diadakan di beberapa Masjid sekitar Kota Kinabalu. Pengisiannya padat dengan ceramah, kuliah, zikir ma’thurat, solat berjamaah dan qiamulail. Tokoh-tokoh besar gerakan Islam baik diperingkat antarabangsa mahupun kebangsaan seperti Dr Ahmad Totonji, Mohd Anuar Tahir, Kamaruddin Mohd Nor dan lain-lain lagi hadir memberi pencerahan dan pandangan tentang Islam dan dakwah daripada perspektif dan pandangan berdasarkan citra sebuah gerakan Islam. Program ini telah menarik minat lebih besar masyarakat setempat yang tinggal berhampiran.

Beliau seterusnya mengambil langkah penting dengan menubuhkan ABIM Kota Kinabalu pada Jun 1980 dengan sebuah Jawatankuasa Penaja penubuhan ABIM Kota Kinabalu telah dibentuk. Akhirnya, setahun kemudian ABIM Kota Kinabalu telah berjaya didaftarkan secara rasminya.

Fasa berikutnya adalah fasa pengembangan ABIM. Namun langit tidak selalunya cerah. Kewujudan ABIM mula kurang disenangi malah dianggap sebagai pencabar kepada kedudukan sesetengah ahli politik. Ini ditambah dengan aktivis dan pengerak-pengerak ABIM di YS-ITM mula berani menyatakan sikap dan menyuarakan pandangan akan ketidakselesaan mereka terhadap program-program yang bertentangan dengan roh dan syariat Islam. Akhirnya ketidakselasaan itu mula diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Beberapa pelajar-pelajar YS-ITM yang lantang bersuara telah dibuang dari kampus, program-program mingguan ABIM mula disekat, dan kemuncaknya adalah kembalinya Ustaz Abdul Ghani ke Semenanjung.

Sungguhpun kehadiran Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin di Sabah amat singkat, kurang dari setahun, beliau telah berjaya meletakkan asas penting dengan menyediakan barisan pelapis daripada kalangan pelajar dan belia serta beliawanis tempatan, yang kemudiannya menjadi pimpinan utama ABIM Sabah. Di sinilah fasa pengembangan ABIM Sabah oleh barisan-barisan pemuda tempatan berlansung yang mana mereka mengambil keputusan penting untuk menubuh dan mendaftarkan ABIM Sabah pada tahun 1982. Antara kepimpinan awal khususnya mereka yang memegang jawatan Yang Dipertua (YDP) ABIM Sabah pada ketika itu adalah, Tn. Haji Sainuri Yahmin, YB. Datuk Sapawi Haji Ahmad dan Dr. Amin Senin.

Barisan pelapis muda ABIM Sabah yang diketuai oleh YDP mengikut period masing-masing nyata tidak kekok sungguhpun masih meniti usia muda dan masih bertatih dalam memikul amanah dakwah. Generasi muda ABIM Sabah pada masa itu berjaya menjalankan pelbagai aktiviti dakwah dan tarbiyyah dengan berkesan. Gerak kerja ABIM Sabah dalam menyampaikan risalah Ar-Rasul SAW pula terus bergerak dengan pantas dalam bentuknya yang syumul sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan as- Sunnah. Hakikat ini diakui oleh Muhiddin Yusin (1990), sebagaimana yang diungkapkan dalam buku beliau Islam di Sabah, “Badan yang dianggap serius dan memperlihatkan penglibatan yang bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk melahirkan individu Islam yang beriman dan tahu tentang tanggungjawab mereka sebagai insan mukmin ialah ABIM”.

Justeru sejak penubuhannya, ABIM Sabah berkeyakinan penuh bahawa setiap perubahan perlu berteraskan ilmu. Oleh kerana itu, tanpa menafikan kepentingan sektor lain, ABIM Sabah mempelopori agenda pembudayaan ilmu dalam masyarakat dalam semua program dakwah, manakala setiap program adalah hasil muafakat jama’ie berdasarkan pertimbangan rapi dan keperluan semasa dan setempat.

Bagi fasa pengukuhan dan pemerkasaan, ABIM Sabah terus bergerak pantas ke hadapan dengan membawa dan mencetus pandangan dari perspektif yang lebih segar dan bertenaga. Fasa ini diteruskan khususnya di bawah kepimpinan dan bakat muda berikutnya yang punya iltizam dan semangat yang teguh iaitu Tn. Haji Sulaiman Hj. Osman, Sdr. Muddin Beting, Sdr. Abdul Manap Mahmud dan Dr. Abdullah Bade.

Need Help? Chat with us