ABIM Gesa Henti Pembalakan, Perlombongan Di Hutan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan segala aktiviti pembalakan, perlombongan serta pembangunan di kawasan hutan.

Gesaan itu dibuat susulan kejadian menimpa Orang Asli daripada suku Bateq di Kampung Kuala Koh Gua Musang, di mana 14 orang meninggal dunia dikatakan berpunca daripada pencemaran sumber air mereka.

“Abim juga menggesa siasatan menyeluruh dilakukan pada setiap aktiviti tersebut untuk menilai kesannya pada alam sekitar khususnya terhadap masyarakat Orang Asli,” kata Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Raimi, hak Orang Asli perlu diakui serta dipelihara memandangkan mereka juga sebahagian daripada rakyat Malaysia.

“Tragedi masyarakat orang asli di Kuala Koh, Gua Musang, perlu menyedarkan kita bahawa usaha memartabatkan masyarakat orang Asli perlu dilakukan secara menyeluruh,” katanya lagi.

Raimi turut menggesa agar pendidikan dan kesedaran Orang Asli ditingkatkan khususnya dalam aspek kepentingan vaksinasi dan kelestarian alam sekitar, selain pengukuhan kemudahan asas seperti kesihatan, kesihatan, elektrik, dan liputan internet serta telefon.

Selain itu, tambah Raimi, isu memartabatkan status pemilikan tanah Orang Asli perlu diberikan perhatian agar kedudukan mereka lebih jelas menerusi kaca mata perundangan selain dapat menghalang tragesi serupa daripada berulang pada masa akan datang.

“Tragedi di Kuala Koh, Gua Musang ini juga menyedarkan kita betapa pentingnya memelihara ekologi alam sekitar yang menjadi kediaman majoriti masyarakat Orang Asli.

“[…] Abim menggesa rakyat Malaysia melihat tragedi ini dengan kaca mata kepentingan menjaga alam sekitar untuk memahami kesan negatif eksploitasi keterlaluan terhadap alam sekitar terhadap kehidupan manusia,” katanya lagi.

Dalam insiden di Kampung Kuala Koh, dua daripada 14 Orang Asli yang meninggal dunia disahkan berpunca daripada radang paru-paru.

Baru-baru ini, penghulu kampung tersebut dilaporkan mendakwa serangan penyakit itu disebabkan oleh pencemaran sumber air Orang Asli di kampung tersebut.

Semalam, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah memberitahu bahawa kerajaan negeri sedang merujuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung dakwaan terhadap aktiviti perlombongan di kawasan itu, sementara hari ini pula Senator Husam Musa, mengesahkan kejadian tersebut.

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *